Jumaat, 28 Ogos 2009

HULURKAN BANTUAN RINGANKAN BEBAN

Kesusahan dan penderitaan mereka yang kurang bernasib baik terutamanya di Daerah Kerian mendapat perhatian ahli-ahli Kelab Petanda terutamanya di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Sehubungan dengan itu, melalui Biro Hal Ehwal Wanita (HAWA) satu kempen sumbangan pakaian baru dan terpakai telah dijalankan sepanjang bulan Ramadhan ini. Pengerusinya, Puan Noor Liza bt. Mohd. Sohaili memaklumkan bahawa, setakat ini sambutan yang diberikan ahli kelab amat memberangsangkan. Banyak pakaian telahpun diterima dan sedang dalam proses pembungkusan. Kerja-kerja pengasingan dan membungkus pakaian peringkat pertama telah dijalankan oleh AJK HAWA dan para sukarelawan bertempat di Pejabat Tanah Kerian.

Pihak Kelab melalui HAWA akan bekerjasama dengan pihak KEMAS Daerah Kerian bagi membuat pengagihan tersebut. Hingga kini sebanyak 44 buah keluarga dari semua mukim dalam daerah ini telah dikenalpasti. Dimaklumkan pakaian-pakaian ini akan diagihkan kepada mereka dalam satu majlis khas yang akan dijalankan dalam masa terdekat.

Kepada ahli-ahli kelab yang penyayang dan prihatin, diucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan anda. Mudah-mudahan ia akan dibalas sebaik-baiknya oleh Allah SWT. Dan kepada ahli kelab yang ingin menyumbang, anda masih boleh berbuat demikian kepada mana-mana AJK HAWA. Sumbangan anda dalam apa jua bentuk amat dialu-alukan. Semoga Ramadhan dan Syawal yang akan menjelang ini memberi sinar kebahagian buat mereka.




kerja-kerja pembungkusan sedang giat dijalankan

1 ulasan:

  1. tahniah..... semoga dirahmati ALLAH s.w.t....

    BalasPadam