Dataran Sungai Kerian, Parit Buntar yang menjadi lokasi sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Perak pada malam Sabtu (10.10.2009) bertukar wajah menjadi lautan yang dipenuhi bendera dan penari yang berpakaian berwarna-warni sebagai tanda bermulanya sambutan Hari Malaysia di sini.
Kira-kira 1000 orang membanjiri Dataran Sungai Kerian untuk menyaksikan persembahan yang penuh gilang-gemilang yang turut dimeriahkan lagi dengan persembahan kebudayaan menggambarkan konsep 1 Malaysia serta melambangkan kepelbagaian kaum di negara ini yang hidup secara harmoni, aman, makmur dan bersatu padu.
Majlis sambutan bermula sebaik sahaja YB Dato’ Abd. Rahman bin Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang mewakili YAB menteri Besar Perak selesai menyampaikan ucapannya. Sebelum itu Tuan Ismail bin Hasan, Pegawai Daerah Kerian juga telah memberikan ucapan aluan mewakili YB Dato’ Hamidah bt. Osman, Exco Kerajaan Negeri Perak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah YB Sham bin Mat Sahat, ADUN Alor Pongsu.
Antara acara menarik pada malam tersebut adalah perarakan 52 bendera oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Pekan Baru diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian Lagu 1 Malaysia. Persembahan sajak patriotik dan tarian kebudayaan pelbagai kaum yang disampaikan oleh para pelajar dari sekolah dalam Daerah Kerian juga amat mengujakan. Para hadirin juga dihiburkan dengan kehadiran artis tempatan seperti penyanyi Farawahida, Riz AF6, Kumpulan Flava dan pelawak Angeline Tan serta Ramasundram.
Acara kemuncak sambutan ialah persembahan khas 1 Malaysia iaitu persembahan tarian yang dibawakan oleh Artis Budaya Selendang Perak. Persembahan ini juga diselangi dengan persembahan bunga api yang amat menarik menghiasi dan menerangi ruang angkasa Dataran Sungai Kerian.
Antara pengundi-pengundi Riz AF yang begitu teruja
Tiada ulasan:
Catat Ulasan